Selamat Datang ke ruangan informasi cahayamylife.com! Semoga bermanfaat untuk semua~

16 Ogos 2011

Home » Karya: Aku Seorang Guru

Karya: Aku Seorang Guru

Hasil karya ini dipertandingkan oleh Puan Norazah binti Abdullah. Baru sahaja bergelar permaisuri hati buat suaminya. Karya ini telah berjaya menambat hati para hakim jemputan kita dengan memperoleh markah keseluruhan sebanyak 55/60. Menarik atau tidak, mari kita tinjau.
Hadiah tempat pertama ini yang terdiri daripada sehelai shayla labuh dan berkualiti serta sebuah buku motivasi bernilai RM75 telah mendapat tajaan daripada Maratussolehah Muslim House dan Azwa Saini.
Terima kasih atas sokongan kalian.

Peserta kelima: Norazah binti Abdullah.
Tema: Generasi Masa Hadapan



Pejam celik pejam celik sudah hampir 4 tahun lebih saya telah berjaya memegang status sebagai seorang guru. Walaupun suatu ketika dulu, kerjaya guru ini merupakan pilihan saya yang kedua, tetapi ternyata saya telah jatuh cinta sentuhan pertama sebaik sahaja saya melibatkan diri dalam bidang ini. Azam saya cuma satu, untuk membantu membentuk generasi muda yang gemilang, terbilang dan berbilang-bilang hebatnya. 

Tapi mendidik anak-anak muda sekarang tak sama seperti di zaman kita dulu. Anak-anak sekarang adalah anak-anak cyber. Semua di hujung jari. Apa yang mereka kehendaki, semua boleh dapat. Petik jari jer, everything at fingertips.

Teringat masa zaman kanak-kanak dulu, kalau cikgu bagi kerja sekolah, kami akan sedaya upaya akan buat sebab takut cikgu marah! Takut cikgu denda !
Tapi anak-anak cyber sekarang bila tak siapkan kerja sekolah, relaks sahaja, Tiada perasaan takut pada cikgu. Bila ditanya kenapa tak siapkan kerja rumah,  alasan mudah diberikan.
" Saya tak sempat buat la cikgu "
"Saya terlupa cikgu"


Bila cikgu denda, mereka akan marah. Riak muka yang agak kurang ajar. Tapi cikgu nak pukul pun tak berani sebab kalau salah pukul, cikgu pula yang keluar surat khabar muka hadapan. Dituduh mendera pelajar sendiri. Belum lagi kisah guru diserang oleh ibu bapa pelajar terbabit. Silap-silap haribulan cikgu kena simbah dengan asid! Kalau zaman kita dulu, pelajar-pelajar terlalu hormatkan guru. Bukan setakat pelajar-pelajar tetapi ibubapa pun memandang mulia kerjaya seorang guru ! Kalau ada anak-anak mereka mengadu dimarah oleh guru, nescaya anak-anak yang kena pukul oleh mak ayah. Betapa tingginya martabat seorang guru suatu masa dahulu.


Pernah suatu hari, terdapat beberapa orang pelajar saya datang lewat ke kelas. Bukan lewat 10 minit tapi setengah jam. Saya memang pantang kalau pelajar datang lewat, sebab saya sendiri akan masuk tepat pada masanya kecuali kalau saya adahal kecemasan.
Guru : " Kenapa awak datang lambat"
Pelajar :" Kami bangun lambat cikgu"
Guru : " Bangun lambat ? Pukul berapa?"
Pelajar : " 8.30 pagi "
Guru :" Awak sembahyang subuh ke tak?"
Pelajar:" Tidak"


Terdiam saya mendengar! Tanpa ada sedikit pun perasaan malu, mereka kata tak sembahyang subuh di depan saya dan semua pelajar-pelajar lain. Macammana mereka nak datang kelas saya awal padahal kewajipan dengan Allah pun mereka abaikan.
Saya tanya semua pelajar dalam kelas siapa yang tak sembahyang subuh pagi tadi?
Tahu tak apa jawapan mereka ?
Dari 22 orang pelajar saya, 21 orang angkat tangan, tak sembahyang subuh !
Cuma seorang sahaja yang sembahyang subuh!
Tengoklah generasi zaman sekarang. Solat dipandang ringan. Inilah generasi muda zaman sekarang. Dan untuk pengetahuan semua 21 orang dari 22 orang pelajar saya adalah semua LELAKI. Lelaki yang bakal menjadi pemimpin. Mungkin pemimpin negara atau kalau bukan pemimpin negara, pasti mereka akan jadi pemimpin keluarga.


Itu baru pelajar lelaki, belum lagi pelajar wanita. Kalau di mana-mana institusi, pelajar perempuan jarang mendatangkan masalah disiplin. Acapkali pelajar perempuan akan datang ke kelas awal. Malah setiap tugasan atau assignment yang diberikan pasti disiapkan tepat pada masanya dan hasilnya sangat tip-top. Tetapi bukan bermaksud mereka tidak pernah buat hal ! Mereka diam-diam berisi.


 Pernah suatu masa dulu, Institusi kami mengadakan lawatan sambil belajar ke Stesen Janakuasa Elektrik di Paka, Terengganu. Sehari sebelum lawatan, kami telah mengadakan perjumpaan bersama-sama pelajar untuk memberikan taklimat ringkas mengenai lawatan tersebut. Ketika sesi taklimat berlangsung, tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan mengangkat tangan.
" Puan, saya ada soalan nak tanya?"
" Ye, apa soalan awak?" tanya sahabat saya
"Esok saya taknak pakai tudung! Boleh tak?" tanya pelajar tersebut.
Sahabat saya yang agak terkejut dengan pertanyaan pelajar tersebut terus menjawab
" Awak ingat awak Siti Nurhaliza ke, tak nak pakai tudung! Awak ingat kat Kolej saja ke yang ada Tuhan ! Semua wajib pakai tudung", tegas sahabat saya.
Saya lihat muka pelajar tersebut seperti tidak puas hati.  Kami guru-guru semua geleng kepala. Budak-budak akhir zaman ni pakai tudung disebabkan peraturan kolej. Kolej mewajibkan semua pelajar Muslim memakai  tudung. Tiada yang berkecuali ! Kalau tak wajib, saya jamin majoriti tak pakai tudung.


Teringat satu kisah yang ingin saya kongsikan bersama dengan semua pembaca mengenai pelajar kami. Kisah ni berlaku pada bulan ramadhan tahun lepas bersamaan Hari Jumaat. Cumanya saya tak ingat berapa haribulan. Tapi yang pastinya bulan Ramadhan dan hari Jumaat. Kami mendapat aduan dari seorang pelajar lelaki yang mengatakan ada seorang pelajar perempuan masuk ke dalam rumah mereka dan tidur di bilik salah seorang rakan mereka. Bukan baru masuk beberapa jam, tapi sudah semalaman! Jadi, beberapa orang guru lelaki telah pergi menerjah ke rumah tersebut! Apa yang mereka nampak ? Pasangan lelaki dan perempuan a.k.a belangkas tersebut berada dalam satu selimut di waktu tengahari ! Yang paling menyedihkan mereka melakukan maksiat pada bulan Ramadhan ! Bulan suci. Bulan yang dinantikan oleh orang-orang beriman. Bulan mulia, bulan yang Allah turunkan rahmat dan semua syaitan diikat. Bukan itu sahaja, mereka melakukan maksiat pada hari jumaat. Hari Jumat, penghulu segala hari. Hari Nabi Adam dijadikan.! Kami hubungi mak ayah keluarga pelajar perempuan dan lelaki tersebut. Tapi apa yang menyedihkan kami, ibu pelajar perempuan tersebut seperti endah tidak endah. Dan dia meminta kami untuk melepaskan anaknya dan memohon agar kami tidak membawa kes ini ke peringkat yang lebih atas iaitu JAINS. Dengan selamba dia kata anak dia selalu ditangkap kerana terlibat dalam kes-kes seperti itu. Kami cuma terdiam. Kalau macam ni generasi muda sekarang, apa akan jadi pada pemimpin kita pada masa akan datang.  Mungkin ini lah yang dikatakan sebagai umat akhir zaman. Macammana kita hendak membentuk generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang kalau sekiranya ibubapa pun tidak memberi kerjasama yang sepatutnya. Dan sebagai guru kami sangat kecewa dengan tindakan ibupada pelajar terbabit dan yang paling menyedihkan, beliau menyalahkan kami. Katanya  kami yang tanggungjawab. Kami sepatutnya menjaga anak dia. Senangnya ibubapa zaman milenium melepaskan tanggungjawab pada seorang guru. Bukan mudah untuk kami, guru-guru yang hanya beberapa kerat untuk mengawal beratus-ratus pelajar.


Sebagai guru
 kami tidak minta dipuja
kami juga tidak minta untuk dipuji
kami juga tidak minta disanjung-sanjung
yang kami minta hanyalah
supaya anak-anak didik kami berjaya dunia & akhirat
supaya anak-anak didik kami menjadi manusia berguna
supaya anak-anak didik kami ingat pada Allah
supaya anak-anak didik kami menjadi insan yang cemerlang


kejayaan pelajar kami bermakna kejayaan kami !

p/s: 
Komen untuk penulisan, penggunaan kata imbuhan dan huruf besar.
Tahniah buat peserta.
Sedikit menarik hati saya, kerana saya juga merasai perkara yang sama.

0 kata penuh gaya:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP