Selamat Datang ke ruangan informasi cahayamylife.com! Semoga bermanfaat untuk semua~

26 November 2009

Home » » Lihatlah saudaraku

Lihatlah saudaraku


Saudara saudari sekalian, lihatlah. Sahabat kita menghulurkan senyuman kepada kita tanda harinya bakal tiba. Dan kita menghulurkan kembali senyuman itu tanda kita menyambut kedatangannya. Esok adalah hari kebahagiaan buat kita dan sahabat kita dan salah satu hari kebesaran buat kita sebagai umat islam. Sebagai tanda memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam melaksanakan perintah Allah dengan menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail, baginda membuat ibadat korban sebanyak
1,000 kambing, 300 lembu, 100 unta di jalan Allah. Melihatkan banyaknya korban itu, semua manusia dan malaikat kagum dengannya. Lantas baginda bersabda, " Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, sudah tentu dia juga akan kusembelih di jalan Allah. Dan aku korbankan dia untuk Allah "

Ketika Nabi Ibrahim tiba di Iradhil Muqaddasah ( bumi yang disucikan ), baginda memohon kepada Allah supaya dikurniakan anak. Dan Allah mengabulkan dan mengurniakan seorang anak lelaki. Apabila anaknya, Nabi Ismail pandai berjalan dan ketika itu berusia 7 tahun dan ada pula sirah mengatakan 13 tahun, Nabi Ibrahim telah bermimpi iaitu baginda mendengar suara berkata, 'Hai Ibrahim, tunaikan nazarmu!'

Baginda berfikir, adakah mimpi itu datangnya dari Allah atau dari syaitan. Dan keesokan harinya, baginda bermimpi perkara yang sama. Barulah baginda tahu bahawa mimpi itu datangnya dari Allah.

Dan keesokannya lagi, baginda bermimpi perkara yang sama. Barulah baginda sedar bahawa Allah benar-benar mahu baginda menunaikan nazar dengan menyembelih anaknya sebagaimana yang dijanjikan dahulu.

Ketika Nabi Ibrahim hendak pergi melaksanakan penyembelihan, baginda berpesan kepada Siti Hajar, "Hai Hajar, pakaikan anakmu Ismail dengan pakaian yang paling baik dan bagus kerana aku akan pergi dengannya"

Maka Siti Hajar memakaikan pakaian,memberi haruman, dan membersihkan tubuh anaknya sebelum menyerahkannya kepada suaminya.

Kemudian Nabi Ibrahim pergi bersama anaknya Nabi Ismail dengan membawa tali dan pisau yang tajam berhampiran Mina. Ketika itu musuh Allah menanti untuk menggodanya. Sepanjang perjalanan Nabi Ismail kelihatan ceria dan sering berlari melompat ke hadapan ayahnya. Maka iblis berkata, "Wahai Ibrahim, apakah engkau tidak memperlihatkan betapa tampan parasnya, bagus badannya, dan kesantunan perilakunya?"

Nabi Ibrahim menjawab, "Ya tetapi aku diperintahkan untuk itu". Setelah iblis terkutuk itu berputus asa , dia segera mendapatkan Hajar pula dan berkata, " Wahai Hajar, bagaimana boleh engkau duduk2 saja sedangkan Ibrahim sudah pun pergi dengan anakmu dan akan menyembelihnya?" Kata Siti Hajar, " Jangan engkau berdusta.Aku tidak pernah tahu seorang ayah sanggup menyembelih anaknya sendiri" Iblis berkata, "Itulah sebabnya dia keluar dengan anakmu membawa tali dan pisau. Dia mengira bahawa Tuhannya menyuruh untuk itu". Siti Hajar menjawab, "Nabi itu tidak pernah memerintahkan sesuatu yang batil dan saya sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan jiwa sendiri, betapa pula jika hanya dengan jiwa anakku".

Iblis berputus asa dan mendapatkan Nabi Ismail pula, seraya berkata, "Sungguh engkau bersenang-senang, sedangkan ayah kamu membawa pisau untuk menyembelihmu". Nabi Ismail berkata, "Jangan engkau berdusta, mengapa ayahku mahu menyebelihku?" Iblis berkata, "dia mengira Tuhannya menyuruh untuk itu". Nabi Ismail berkata, " Aku memperhatikan dan mentaati perintah Tuhanku". Ketika iblis itu cuba untuk menggoda lagi, Nabi Ismail telah mengambil seketul batu dan telah melemparkannya terhadap iblis sehingga mati kirinya pecah dan buta. Lalu iblis pergi dengan sia-sia. Ketika Nabi Ibrahim tiba di Mina, baginda berkata kepada puteranya, Nabi Ismail, "Hai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku bahawa aku menyembelihmu, cuba engkau perhatikan bagaimana pendapatmu?

"Ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan.InsyaAllah ayah akan mendapatkanku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelihku". Tatkala Nabi Ibrahim mendengar kata-kata Nabi Ismail, baginda tahu doanya telah dikabulkan iaitu 'Rabbi Hablii Minassolihin' ( Ya Tuhanku, kurniakanlah daku anak yang soleh ).


Kemudian Nabi Ismail berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah.Hendaklah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah. Hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak lihat yang mungkin melahirkan kasih sayang ayah kepadaku.Hendaklah ayah melipatkan kaki ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahalaku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah. Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah bagi mempercepatkan jalannya di atas leherku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali.Hendaklah ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku dan sampaikanlah salam aku kepadanya dan katakan, 'Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah'. Dan janganlah ayah memberitahunya bagaimana ayah menyembelih dan mengikat tanganku. Hendaklah ayah tidak memasukkan anak2 ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku. Dan ayah mengetahui anak seperti aku hendaklah ayah tidak melihatnya hingga nanti ayah menjadi susah dan duka."


Nabi Ibrahim berkata, "Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku untuk melaksanakan perintah Allah SWT". Kemudian ketika kedua-duanya sudah menyerah bersedia, Nabi Ibrahim membaringkan Nabi Ismail seperti kambing yang disembelih. Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim menelungkupkan wajah Nabi Ismail dengan syaratnya supaya tidak menimbulkan kasih sayang terhadap anaknya hingga dapat menghalang baginda dari melaksanakan perintah Allah. Perintah itu dilaksanakan di sisi batu besar di Mina. Ada yang menerangkan di suatu tempat yang berdekatan dengan Mina. Nabi Ibrahim meletakkan pisau pada leher puteranya dan baginda memotongnya dengan kuat sekali. Namun tidak mampu memutuskan leher anaknya. Sesungguhnya Allah membuka semua mata malaikat di langit dan laut. Ketika malaikat melihat bahawa Nabi Ibrahim menyembelih puteranya, mereka tersungkur sujud kepada Allah. Kemudian Allah berfirman, bermaksud, " Perhatikan olehmu sekalian kepada hambaKu bagaimana dia melakukan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredaanKu sedang dulu kalian mengatakan sesuatu ketika Aku berfirman: "Sesungguhnya aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah". Dan engkau berkata, Apakah Engkau menciptakan orang yang akan membuat kerosakan di bumi, dan akan menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau".

Kemudian Nabi Ismail berkata, " Wahai ayahku, lepaskanlah ikatan tanganku dan kakiku supaya Allah tidak memandangku sebagai orang yang terpaksa. Ertinya terpaksa dalam melaksanakan perintah Allah. Bahkan letakkan pisau itu di atas leherku supaya malaikat tahu bahawa putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri atau sukarela."

Maka Nabi Ibrahim pun meluruskan tangan Nabi Ismail dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenaga. Pisau itu membalik dan tidak boleh memotong leher Nabi Ismail dengan izin Allah. "Wahai ayahku, kekuatanmu menjadi lemah kerana masih ada cintamu kepadaku, kerana itu ayah tidak boleh menyembelih aku", kata Nabi Ismail. Maka, Nabi Ibrahim memukul pisau itu pada batu dan batu itu menjadi dua. "Wahai pisau, engkau mampu membelah batu tetapi tidak mampu memotong leher anakku", kata Nabi Ibrahim. Pisau itu berkata dengan izin Allah, " Wahai Ibrahim, engkau mengatakan 'potonglah' sedang Tuhan seru sekalian alam berfirman: 'Jangan engkau potong. Maka bagaimana aku mentaati engkau sedang aku harus menderhakai Tuhan engkau?" Kemudian Allah berfirman yang bermaksud, Dan Kami menyeru: Hai Ibrahim, sungguh engkau membenarkan mimpi. Ertinya apa-apa yang engkau perlihatkan daripada beberapa pemandangan, hingga tampak bagi hambaKu, bahawa engkau sungguh memilik keredaanKu daripada kecintaanmu terhadap anakmu".

"Dan adalah engkau dengan demikian itu, termasuk golongan orang yang taat kepada perintahKu. Sungguh ini adalah ujian yang nyata iaitu penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas dari yang tidak ikhlas, atau juga ujian yang nyata sulit sekali kerana tidak ada yang sesulit itu". "Maka, Kami selamatkan orang yang disuruh membunuhnya dengan sembelihan besar dari syurga, iaitu kambing kibas yang yang dulu dikorbankan oleh Habil yang diterima daripadanya. Dan korban kambing itu tetap berada di syurga, hingga Nabi Ismail ditebus atau digantikan dengan kambing itu". "Kerana itu Kami perintahkan kepada Jibril yang datang dengan membawa kambing kibas, ketika Nabi Ibrahim meletakkan pisaunya yang terakhir kali pada leher puteranya itu".

Malaikat Jibril berseru untuk mengagungkan Allah dan kagum terhadap perbuatan Ibrahim seraya berkata, "Allahu, Akbar, Allahu Akbar". Maka Nabi Ibrahim membalasnya dengan ucapan,"Laa IlahaIllallahu Allahhu Akbar". Dan Nabi Ismail pun menyambutnya, " Allahuakbar Wa Lillahhil Hamdu". Maka Allah menganggap baik kalimat ini, lalu mewajibkan kita sekalian mengucapkannya kerana mengikut jejak Nabi Ibrahim.

Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.


Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka. InsyaAllah hari yang mulia dan kedatangan 10 ZHJ yang mulia menambahkan lagi keimanan kita terhadap Tuhan kita Yang Satu, Azza WaJalla.Amiin..Syukran Wa Ila Liqo'.

0 kata penuh gaya:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP