Selamat Datang ke ruangan informasi cahayamylife.com! Semoga bermanfaat untuk semua~

26 Julai 2011

Home » Karya: Satu Pengorbanan

Karya: Satu Pengorbanan

Ini adalah karya yang dipertaruhkan oleh Azwa Saini untuk Pertandingan Nukilan Seorang Teman.
Beliau meraih tempat kedua bagi kategori Undian Pembaca sebanyak 27 undian.

Hadiah kategori ini ditaja oleh Encik Amar Zaim Zamran dari Awanpagi.com dan Encik Saifuddin.
Terima kasih atas sokongan kalian.

Satu Pengorbanan
Aku bukanlah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan setiap semester sewaktu pengajian diploma pun tidaklah memberangsangkan. Namun aku tetap meneruskan pengajian sehingga tamat kerana tidak mahu mengecewakan harapan ibu ayah.
Tamat sahaja pengajian di UiTM pada tahun 2001, aku melangkah ke alam pekerjaan. Tanpa latihan asas, dikelilingi orang yang lebih dewasa dan pelbagai ragam, majikan yang cerewet serta tugasan yang banyak menyebabkan aku mula rasa tertekan. Aku mula memikirkan apa sebenarnya yang aku inginkan. Aku mula merasa ingin menyambung semula pelajaran untuk menebus kekurangan lalu tetapi dalam masa yang sama turut bekerja.
Aku mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda pada hujung tahun 2004 secara luar kampus. Segala perbelanjaan pengajian aku tanggung sendiri dengan menggunakan gaji yang aku perolehi. Aku tidak mahu menyusahkan ibu ayah yang telah menanggungku selama ini.
Bermulalah kehidupanku sebagai pekerja dan pelajar. Siang bekerja dan malam menghadiri kuliah. Menaiki LRT dari Ampang menuju ke tempat kerja di Bukit Jalil dan kemudian menuju ke UiTM Shah Alam. Waktu bekerja dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang diawalkan dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk mengejar kelas yang bermula jam 6.30 petang. Tapi biasanya aku tiba di kelas selepas maghrib kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas. Jika bas penuh aku terpaksa berebut-rebut, berhimpit dan berdiri sepanjang perjalanan lebih satu jam.
Kelas tamat jam 9.30 malam dan aku berkejar pula mendapatkan bas ke Kuala Lumpur sebelum menaiki bas atau LRT pulang ke Ampang. Bas akhir dari Shah Alam ialah pada jam 10.30 malam. Oleh itu, aku akan pastikan yang aku mendapat bas selewat-lewatnya jam 10.00 malam. Kadangkala aku menaiki komuter atau menumpang kawan sekuliah yang sama perjalanan. Sekiranya kelas habis awal, awallah aku tapi jika lewat aku akan tiba lewat di rumah. Pernah aku tiba di rumah pada jam 12.30 malam.
Berulang alik dari Ampang – Bukit Jalil – Shah Alam sangat memenatkan. Aku pernah menangis kerana terlalu tertekan dan penat. Penat fizikal dan mental. Ditambah pula dengan tekanan di tempat kerja. Perjalanan sekitar tiga daerah yang berbeza dan jauh ini lebih memenatkan daripada menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Selama 4 tahun aku menjalani rutin tersebut sehingga pernah aku merasa ingin berhenti sahaja. Namun aku cuba bertahan dan tanamkan dalam fikiran yang segalanya akan berakhir juga. Aku bertekad dan berazam untuk tamatkan juga pengajian ini. Apa yang telah aku mulakan perlu diakhiri dengan jayanya. Aku tidak mahu kecundang di tengah jalan. Aku mempunyai rancangan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dengan ijazah yang akan aku terima nanti. Setidak-tidaknya untuk pencapaian peribadi aku sendiri.
Akhirnya, pada tahun 2009 tamatlah pengajianku dan aku dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Walaupun bukan kelas pertama, namun aku puas. Puas kerana aku mendapat apa yang aku impikan dan sasarkan. Puas kerana pengorbanan dan penat lelah yang kutanggung selama ini membuahkan hasil. Puas kerana aku menggunakan wang sendiri untuk memenuhi impianku. Puas kerana aku dapat menggembirakan ibu ayah dengan kejayaan yang aku perolehi. Puas kerana aku mendapat ilmu pengetahuan dan pengalaman sebagai seorang pekerja dan pelajar dalam waktu yang sama.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Setiap kali terkenangkan saat itu, hatiku pasti rasa sebak dan sedih. Aku tak menyangka yang aku mampu mengharunginya. Aku bersyukur kepada ALLAH yang memberikan aku kekuatan, kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini. Bukan mudah melakukan dua perkara yang berbeza dalam satu masa tapi dek kerana kekuatan yang ALLAH kurniakan itulah membuatkan aku mampu bertahan.
Buat teman-teman, setiap pengorbanan yang kita lakukan tetap akan mendapat ganjaran. Sama ada cepat atau lewat, itu ketentuan-NYA. Bersabar dan tabahlah menghadapi ujian dan cabaran. Usah cepat berputus asa dengan kegagalan lalu. Usah cepat mengalah dengan cabaran dan dugaan yang ditempuh tetapi bangkitlah demi kejayaan diri. Hanya kita…diri kita sendiri yang mampu merubah perjalanan hidup kita.

p/s:Tahniah kepada pemenang.

0 kata penuh gaya:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP